Lebih membimbangkan apabila dalam tempoh 10 tahun akan datang, kematian akibat kanser dijangka meningkat hingga lebih 14 juta orang setiap tahun.
Bagaimanapun, lebih daripada sepertiga daripada kematian tersebut sebenarnya boleh dicegah, dan jika dikesan lebih awal, banyak jenis penyakit kanser boleh diubati.
Di Malaysia, terdapat lebih 100,000 orang menderita kerana kanser, dengan sebahagian besarnya adalah wanita.
Dianggarkan satu dalam empat orang rakyat negara ini akan mendapat kanser dan antara puncanya berkaitan dengan gaya hidup.
Lima jenis kanser yang kerap dihidapi rakyat Malaysia ialah kanser payudara, usus, paru-paru, rahim dan tekak.
Kanser menyerang seseorang dengan pelbagai cara, namun setiap orang boleh mengurangkan risiko atau menghindari penyakit ini.

HARI KANSER SEDUNIA
Hari Kanser Sedunia yang disambut pada setiap 4 Februari, menjadi peringatan apa yang boleh dilakukan, apa pilihan anda atau apa yang hendak dilakukan bagi mengelak daripada kanser.

Perunding Klinikal Onkologi dan Radioterapi, Hospital KPJ Damansara, Dr. P. Sangeetha berkata, kempen kesedaran mengenai kanser yang banyak dijalankan sama ada oleh kerajaan mahupun swasta, membantu meningkatkan kefahaman orang ramai bagi menjalani pemeriksaan di hospital.

Katanya, masyarakat sekarang terutama wanita sangat peka jika terdapat perubahan pada diri mereka.

Mereka tidak mahu menunggu dan akan terus datang ke hospital bagi menjalani pemeriksaan imbasan dan sebagainya bagi memastikan mereka tidak menghidap penyakit yang amat ditakuti ini.

“Jika mereka merasakan terdapat ketulan pada payudara, mereka akan terus ke hospital bagi mendapatkan kepastian. Kanser boleh dielakkan jika dikesan awal.

“Selain pesakit yang mengesyaki kanser kerana ketulan yang terdapat pada payudara, terdapat juga kumpulan wanita yang datang apabila merasakan mereka mempunyai simptom penyakit tersebut.

“Golongan muda juga mesti berhati-hati dan peka kerana kanser bukan hanya menyerang golongan berusia malah sekarang ramai golongan muda yang mendapatnya.

Wanita yang berusia lebih 40 tahun dan individu yang ahli keluarganya pernah mendapat kanser mesti sering melakukan ujian darah, pap smear dan sebagainya kerana risiko mereka adalah lebih tinggi. Lebih awal dikesan lebih tinggi peluang untuk sembuh,” katanya semasa lawatan media ke Fasiliti Kanser, Hospital Pakar KPJ Damansara, di Petaling Jaya, Selangor baru baru ini.

Lawatan tersebut termasuklah ke Suite Radiologi, Fasiliti X-Ray dan Penjagaan Harian Kemoterapi.
Dr. Sangeetha menambah, peluang untuk sembuh bergantung pada tahap penyakit.
Jika tahap satu, peluang untuk sembuh ialah di antara 80 hingga 90 peratus.
Bagaimanapun, jika telah tahap empat, sel kanser telah merebak ke banyak tempat dan banyak rawatan yang perlu dilakukan.
“Oleh itu, datang sebelum sakit dan buat pemeriksaan kesihatan. Jika mengesyaki kelainan pada tubuh seperti berat badan yang tiba-tiba turun, buang air besar berdarah, terdapat tahi lalat besar yang luar biasa, demam tanpa sebab, bonjolan dan sebagainya, segera berjumpa doktor.
“Orang akan takut apabila dengar sahaja mengenai kanser berikutan bermacam cerita yang menakutkan mengenainya, seperti kemoterapi dan kesan-kesan sampingannya.
“Bagaimanapun, setelah melaluinya, mereka tidak berasa teruk sangat. Berjumpa dan berbual dengan pesakit-pesakit kanser lain membuatkan mereka boleh menerima hakikat tersebut,” katanya.

Apa peranan kita?



1. Cegah Kanser
Perubahan gaya hidup bermakna semakin ramai orang di seluruh dunia adalah terdedah pada faktor risiko kanser seperti merokok, pemakanan yang tidak dijaga dan malas bersenam. Mendidik dan menjelaskan pada individu dan komuniti mengenai kaitan risiko kanser dengan gaya hidup adalah langkah pertama yang berkesan ke arah pencegahan kanser.

2. Wujudkan Sekolah Yang ‘Sihat’
Cara bagaimana kita mendidik kanak-kanak dan generasi akan datang adalah penting bagi langkah pencegahan dan rawatan kanser pada masa depan. Sekolah mempunyai peranan penting dalam pencegahan kanser. Kita mesti mewujudkan budaya sihat dengan menyediakan makanan berkhasiat, tidak menggalakkan merokok dan mempunyai masa untuk riadah serta sukan serta memasukkan mata pelajaran pendidikan fizikal dan pemakanan yang sihat dalam kurikulum sekolah.

3. Wujudkan Persekitaran Tempat Kerja Yang Sihat
Ramai yang menghabiskan sebahagian besar masa mereka di tempat kerja. Oleh itu, tempat kerja adalah tempat terbaik bagi mewujudkan tabiat yang sihat. Syarikat-syarikat harus digalakkan memberi keutamaan terhadap gaya hidup yang sihat di tempat kerja dan memberikan pendidikan mengenai pentingnya senaman dan pemakanan sihat, bahaya merokok dan faktor risiko kanser yang lain.

4. Wujudkan Bandar Sihat
Hari ini, 54 peratus populasi dunia tinggal dalam persekitaran bandar dan dijangka meningkat pada 66 peratus menjelang 2050. Semakin moden dunia, semakin bertambah pembangunan di bandar. Justeru itu perkhidmatan kesihatan perlu ditambah kepada semakin ramai penduduk bandar yang menjalani gaya hidup aktif bagi mengurangkan faktor risiko kanser.

5. Pengesanan awal selamatkan nyawa
Mendiagnos kanser bukannya mudah kerana bukan semua kanser menunjukkan tanda-tanda awal dan simptom dan semua tanda lain mungkin lambat dapat dilihat. Bagaimanapun, bertambahnya kesedaran tanda-tanda dan simptom kanser dan pentingnya rawatan awal menunjukkan ramai yang terselamat daripada kanser.

BAGAIMANA VIVIX DAPAT BANTU KANSER?