Sesetengah penghidap mungkin mengalami gejala pada usia satu tahun manakala yang lain mungkin menjadi mangsa pada peringkat yang lebih lewat. Tidak kira bila keadaan bermula, serangan epilepsi amat sukar diramalkan dan boleh memberikan kesan ketara terhadap kehidupan harian, hubungan dan juga keselamatan pesakit.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat kira-kira 50 juta orang yang menghidap epilepsi, dengan 80 peratus daripada kes yang dilaporkan adalah dari negara-negara membangun termasuk Malaysia.
Sempena sambutan Hari Ungu (merujuk kepada penyakit epilepsi) tahun ini, satu usaha pada peringkat akar umbi antarabangsa telah dianjurkan pada 26 Mac lalu bagi meningkatkan kesedaran mengenai epilepsi.


Salah seorang pesakit epilepsi yang ditemu bual, Ahmad Ali, 43, berkata, dia ingin membantu meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang ramai mengenai epilepsi dan menekankan pentingnya sikap positif bagi mengubah kehidupan penghidap epilepsi.
Menurut Ahmad, dia mengalami serangan sawan pertama semasa masih bayi. Ketika itu, dia mengalami demam panas. Ibu bapanya sangat bimbang namun, demam akhirnya pulih.
Serangan tersebut menandakan permulaan peringkat pertama epilepsi dalam hidup Ahmad. Serangan sakit berkenaan menjadi lebih kerap pada umur lapan hingga 13 tahun dan setiap kali berlaku, ia berlarutan selama lima minit.


Doktor menggambarkannya sebagai serangan ‘grand mal’ (serangan sawan di mana pesakit tidak sedar diri dan mengalami kekejangan otot yang ketara). Ahmad memberitahu, dia perlu tidur selama tiga hingga lima jam selepas setiap serangan.
Ibu bapa sangat risau. Saya anak bongsu dan mereka sangat mengambil berat tentang keadaan saya. Mereka bimbang saya akan mencederakan diri jika diserang sawan. Saya tidak dibenarkan melakukan aktiviti luar seperti berenang atau berbasikal.
“Dengan semua ‘sekatan’ yang dihadapi semasa membesar, saya banyak menjauhkan diri daripada orang lain. Bagaimanapun saya menyimpan tekad untuk menjalani kehidupan yang normal. Saya rasa, diri sendiri dan keluarga perlu mengubah sikap supaya menjadi lebih positif.
“Peringkat kedua epilepsi ialah semasa saya berumur antara 13 dan 19 tahun. Masa itu, saya mula berjumpa doktor. Saya dirawat dengan ubat dan keadaan bertambah baik. Serangan yang saya alami kemudiannya lebih berkeadaan sederhana dan terkawal. Otak tidak begitu berat dan saya dapat merasakan ubat ini berkesan,” kata Ahmad.
MENURUT Ahmad Ali, semasa membesar, dia tidak jemu bertanyakan soalan mengenai penyakit ini kepada pakar perubatan dan keluarga sentiasa memberi sokongan kepadanya untuk mengetahui mengenai epilepsi.
Dia bertanyakan kepada doktor mengenai ubat yang diambil dan lama-kelamaan hubungannya dengan doktornya menjadi lebih terbuka. Dia berkongsi pencapaian kesihatan peribadinya bersama doktor.
Peringkat ketiga epilepsi Ahmad bermula apabila disahkan menghidap epilepsi lobus temporal kiri pada usia 20 tahun. Bagaimanapun, dengan bantuan ubat-ubatan, doktor dan keluarga, keadaannya menjadi bertambah baik.
Kini dia boleh meramalkan dan mempersiap diri bagi menangani serangan. Kini, dia hanya perlu berjumpa doktor sekali dalam tempoh enam bulan berbanding sekali, dalam satu atau dua bulan pada masa lalu.
Walaupun menghidap epilepsi, Ahmad tidak pernah membiarkan keadaannya itu menjadi penghalang. Dia bekerja keras untuk cemerlang dalam pelajaran dengan mencapai gred tertinggi dalam peperiksaan sekolah menengah, melanjutkan pengajian ke universiti dan mendapat Ijazah Sarjana Psikologi Pendidikan dalam masa hanya 15 bulan.
“Saya memahami pengorbanan ibu bapa selama ini bagi memastikan saya selamat dan ini mendorong saya untuk melakukan yang terbaik dan membanggakan mereka. Saya mula melihat epilepsi sebagai sesuatu yang boleh dipelajari bukan sahaja oleh diri tetapi juga orang lain,” ujarnya.
Ahmad kini melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah dalam bidang Psikologi Pendidikan. Dia turut mengajar di beberapa buah universiti dan kolej tempatan sebagai pensyarah dan kaunselor. Ahmad turut mendidik pelajarnya mengenai epilepsi dan menyangkal salah tanggapan umum terhadap penyakit tersebut.
“Ramai pelajar saya tidak mengetahui mengenai epilepsi. Jadi saya mengambil keputusan untuk mendedahkan mereka mengenai penyakit ini. Bagaimanapun saya tidak pernah mendedahkan bahawa saya sendiri mengalami masalah tersebut.
“Berdasarkan pengalaman peribadi, saya beritahu mereka mengenai penyakit ini dan bagaimana perasaan penghidap epilepsi sambil merangka aktiviti yang dapat membantu meningkatkan kesedaran mereka.
“Saya benar-benar berbangga, apabila saya meminta pelajar menerangkan mengenai jenis epilepsi berbeza, mereka berjaya melakukannya. Mereka ternyata faham dan peka tentang keadaan, gejala dan cabarannya,” ujar Ahmad.
Walaupun terdapat usaha berterusan di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran mengenai epilepsi dan menyokong mereka yang menghidap penyakit ini, Ahmad berpendapat, masih terdapat mitos dan salah tanggapan tentang epilepsi yang perlu ditangani dan disangkal sewajarnya.
Malah hari ini, kepercayaan karut mengaitkan penghidap epilepsi dengan penyakit mental, dirasuk syaitan atau mangsa ilmu sihir masih wujud.
Dia meminta badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat-syarikat korporat memberi sokongan praktikal dan menyediakan maklumat berkaitan pemikiran positif bagi membantu mengubah tanggapan umum tentang epilepsi.
Bagi pesakit yang menghadapi masalah menangani keadaan ini, dia menasihatkan pesakit terutamanya yang muda untuk mengikuti tiga langkah mudah:
Pertama, menyemai pemikiran positif dan yakin bahawa anda boleh terus menjalani kehidupan normal.
Kedua, ubah tanggapan anda tentang epilepsi. Ia boleh diuruskan dengan ketetapan minda dan rawatan yang sewajarnya.
Ketiga, bekerja keras untuk membina tahap keyakinan dan menambah baik kehidupan anda.